-Seperti
yang tersiar di dalam majalah Pesona Pengantin
-Oleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.
Apabila anda mengupah seorang jurugambar untuk merakamkan gambar
majlis perkahwinan anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu
bagi perkhidmatannya. Sekiranya anda tidak memahami akan proses yang
terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan, anda tentu akan menganggap
harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut saya senaraikan
5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan:
1) Kos Peralatan Kamera
Untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera
yang berkualiti. Satu set kamera digital yang baik berharga dalam
lingkungan
RM 10,000. Selain dari kos pembelian, kos pemeliharaan juga diambil
kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf, diservis dan diperbaiki jika
berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih
cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira semua
kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan
mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya
membayar kos ‘sewa’ peralatan mereka.
2) Kemahiran Jurugambar
Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah
mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi. Selain dari itu, jurugambar
juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi,
mempunyai citarasa yang tinggi dan kemahiran lain. Kemahiran ini
hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman.
Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar itu,
semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.
3) Masa Perkhidmatan
Jurugambar adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan
mendapat bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang
jurugambar cuma boleh merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada
sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah satu faktor yang amat bernilai
kepada seseorang jurugambar. Dengan itu, jurugambar mengenakan harga
untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu diambil
untuk sesuatu tugasan.
4) Perkhidmatan Selepas Rakaman
Setelah jurugambar selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan
anda, tugas beliau sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau
perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih
gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih
akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman,
komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan
dicetak. Selepas cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali
kualiti cetakan gambar. Gambar yang tidak sempurna akan dicetak kembali
agar mencapai tahap kualiti yang dikehendaki. Akhir sekali, kesemua
gambar-gambar tersebut akan disusun ke dalam album sebelum diserahkan
kepada pelanggan.
5) Kos material
Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material
juga terlibat dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar.
Antara kos material yang terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan
gambar, album, bil telefon, kos promosi serta lain-lain kos peniagaan.
Dengan
mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan,
diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang jurugambar walaupun
anda terpaksa mengeluarkan sejumlah
wang untuk membayar perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi
untuk membelanjakan wang kepada sesuatu yang boleh anda tatap sehingga
ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah gambar hari yang paling
bahagia dalam hidup anda.
No comments:
Post a Comment